Mengenal Karakter





Farah, apa yang kamu tahu tentang watak Nurul?" tanya pengarah kepada Farah Adeeba ketika semua krew berkumpul di Pejabat Astana Karya, Galeri Ilmu bagi membincangkan skrip Drama Nurul Iman. Farah Adeeba menggeleng kepala. "Watak Nurul bukan watak saya, saya belum lagi dapat menjiwai watak ini.." kata Farah Adeeba.

"Masalah tu," balas Tuan Hj Nurhalim selaku pengarah. "Hah Ummu, awak buat watak Nurul tu, cuba awak terangkan sikit pada kami," aju pengarah kepada saya. Saya kemudian bercerita apa yang saya tahu tetapi kemudiannya masih dibalas gelengan pengarah. "Watak Nurul masih belum jelas dalam cerita ini, karakternya tak ada kekuatan lagi," kata pengarah. Setelah itu, sesi perbincangan menjuruskan kepada perwatakan watak. Saya ditegur oleh pengarah bahawa dialog yang saya cipta untuk watak tidak serasi dengan perwatakannya.



"Watak Sufian berumur 35 tahun. Tapi awak buat dia bercakap macam budak 19 tahun," kata pengarah kepada saya. Saya dapat menerimanya dengan tenang. Sebagai orang baru dalam bidang penulisan skrip, terlalu banyak ilmu yang belum saya kuasai. Ilmu perwatakan cerita salah satunya.

Karakter adalah tipa yang akan menggerakkan sesebuah drama. Karakter boleh dikenali melalui percakapan watak, ekspresi wajah dan tindakannya dalam cerita. Karakter seorang pelakon tidak boleh disamakan dengan karakternya di dalam cerita. Kadangkala, seorang pelakon yang peramah terpaksa menjadi seorang yang pendiam dan misteri dalam drama. Inilah dinamakan kerja lakonan.




Bagi seorang penulis skrip pula, kewajipannya adalah membuat penyelidikan tentang watak sebelum skrip dihasilkan. Menurut Hj Nurhalim yang banyak memberi bimbingan kepada saya, seorang penulis skrip perlu tahu seluruh riwayat watak yang diciptanya dari dia 'hidup' sehinggalah dia 'mati'. Walaupun dalam drama, watak hanya berkembang pada tempat2 tertentu (bukan keseluruhan umur), tetapi penulis mengetahuinya sendiri. Perkataan 'jika' perlu intim dengan penulis. Misalnya, dalam lakonan watak Nurul dan Iman ditamatkan tanpa memberitahu penonton dengan siapakah mereka berkahwin atau belajar, penulis sudah mensetkan jawapan pada dirinya. Nurul telah berkahwin dengan dia bukan dia, atau Iman belajar di sini bukan di sana. Jawapan kepada andaian2 itulah yang akan membina peribadi watak tersebut.

Penulis juga perlu berhati-hati kerana dialog yang diciptanya akan menjadi rujukan kepada para pelakon untuk beraksi. Dialog yang tidak melambangkan karakter watak akan mencacatkan cerita.

Untuk drama Nurul Iman ini, pengarah dan penolong pengarah telah banyak memperbaiki watak dan karakter cerita. Pengarah juga terpaksa menukarkan karakter yang terdapat dalam skrip kepada karakter sebenar pelakon agar perjalanan proses drama berjalan dengan lancar dan tepat pada masanya.

0 komen:

Post a Comment