Di Belakang Sesebuah Drama Televisyen



Umumnya, apabila sesebuah drama itu diputarkan di televisyen, penonton menanggapkan kejayaan atau kegagalan drama tersebut kepada individu pelakon. Jika drama tersebut menarik dan berkesan, pastinya pelakon akan mendapat pujian, begitu juga sebaliknya.


Saudara Wan selaku jurukamera


Kak G selaku penjaga konti dan Alang, jurupakaian

Hakikatnya, penerbitan sesebuah lakon layar itu dilibati sepasukan tenaga kerja yang dipanggil krew produksi. Mereka adalah penerbit (yang bertindak sebagai pemodal), penulis skrip (yang menggarapkan dialog dan plot cerita), pengarah (yang menggerakkan tubuh drama), pelakon (membawa karakter watak), jurukamera, pembantu jurukamera, bahagian konti dan prop, juruaudio dan suara, jurulampu, runner atau pembantu lokasi, pengurus produksi (yang bertindak menghubungi pihak yang berkaitan untuk tujuan pengambaran), jurumekap dan jurupakaian.


KETUA BAHAGIAN KONTI DAN PROP DRAMA NURUL IMAN, Pak Dan.

Setiap pihak mempunyai peranan penting sewaktu shooting berlangsung. Jika salah seorang krew tidak hadir, kerja-kerja lakon layar akan tergendala. Selain itu, lakonan hanya akan bermula apabila set telah sempurna. Kerja menyiapkan set ini memakan masa yang agak lama terutama jika melibatkan lakonan studio seperti dalaman hospital,rumah, kelas dan lain-lain. Jurulampu bertanggungjawab memastikan cahaya yang sesuai dengan keperluan sinematografinya. Begitu juga dengan juruaudio, alatan pembesar suara perlu dipastikan berada dalam keadaan baik sebelum lakonan bermula.



Bagi jurupakaian dan jurusolek, mereka menggunakan kreativiti yang tinggi untuk menyiapkan fizikal para pelakon.Jurusolek akan mengubah wajah pelakon menurut kehendak skrip. Watak seperti orang gila, wanita tua, sedih lebih susah disolekkan berbanding watak kacak atau jelita. Hal ini tidak mendatangkan masalah kepada para jurusolek yang berpengalaman. Manakala jurupakaian mempunyai sebuah buku yang menyenaraikan semua pakaian yang akan digunakan oleh pelakon sewaktu berada di set lakonan.




Walaupun tidak banyak mengeluarkan tenaga fizikal seperti para juru di atas, pengarah serta penolong pengarah menggalas tugas yang lebih perit. Mereka adalah pemikir bagi perjalanan drama serta 'pengasuh' para pelakon. Pengarah juga memberi arahan pusat kamera, lampu, solekan dan pakaian kepada pasukannya bagi mencerminkan realistik karya. Sebuah karya yang baik akan menjadi agung di tangan pengarah yang pakar, bahkan sebuah karya yang tidak bagus juga akan menjadi baik di tangan pengarah yang pakar.


Penolong Pengarah, Kak Lin sedang memberi tunjuk ajar kepada pelakon.


Kesimpulannya, pembikinan sesebuah drama televisyen menuntut pengorbanan dan kepakaran pelbagai pihak sehingga apabila ia diiktiraf, maka seluruh pasukan tersebut wajar diberikan pujian. Bukan hanya para pelakon.

0 komen:

Post a Comment