Bila Dua Gadis Melayu Sukakan Seorang Teruna Arab..


Iman, Hijaz dan Nurul


Hijjaz (Rahman, 26) berkenalan dengan Nurul Aini (Farah Adeeba, 30) di Damsyik sewaktu sama-sama menuntut di universiti di sana. Hubungan mereka menjadi rapat kerana Hijjaz turut berkawan dengan abang Nurul, Munir (Yassin Sulaiman). Sepanjang perkenalan itu, dia mula mempelajari bahasa dan budaya Melayu yang disifatkannya sebagai unik. Nurul Aini banyak membantu Hijaz menguasai Bahasa Melayu, dalam waktu yang sama turut memperdalamkan Bahasa Arabnya. Sebagai gadis intelek dan berwawasan tinggi, Nurul Aini turut mengadakan kelas Bahasa Arab kepada kanak-kanak Arab di Damsyik.



Di tanah air, Iman Sakinah (Zarina AF) berasa terkilan kerana masih gagal dalam subjek Bahasa Arab yang diambilnya di universiti. Kegagalan kali kedua itu menyebabkan dia tidak bersemangat untuk meneruskan kursus Bahasa Arab secara elektif. Temannya, Khadijah mencadangkannya mengambil kelas tambahan ketika cuti semester berlangsung. Cadangan itu turut disokong oleh pensyarah mereka, Dr Fatehah. Iman mengadukan masalahnya itu kepada ibunya, Mak Kiah (Khadijah Tan) seorang pengusaha herba tradisional. Mak Kiah merasakan Bahasa Arab itu sangat susah dan bersimpati dengan anaknya.


Iman Sakinah

Ketika Nurul Aini dan Hijaz bersemangat mendalami bahasa dan Sastera Arab, Hijaz disuruh pulang ke Madinah secara mengejut. Tanpa pengetahuan Hijaz, ayah dan abang-abangnya telah merancang menghantar Hijaz memperlajari herba tradisional di Malaysia. Perancangan tersebut mempunyai kaitan dengan komplot membunuh Hijaz. Tiga abangnya iaitu Harun, Bakhtiar dan Jamal tidak berpuas hati kerana bapa mereka, Syeikh Mohamad lebih mempercayai Hijaz bagi mewarisi kepimpinan syarikat keluarga. Sebagai anak yang taat dan lurus, Hijaz menuruti arahan keluarganya dengan redha.

Tuan Abdullah, orang upahan Harun telah menukar perancangan membunuh Hijaz. Dia mengarahkan anak-anak buahnya menghantar Hijaz ke Utara Malaysia bagi mempelajari herba dengan Mak Kiah, saudaranya. Tuan Abdullah juga memujuk Mak Kiah agar dapat menjaga Hijaz dengan baik untuk suatu tempoh yang dijanjikan. Di situlah Hijaz mengenali Iman dan Adam (Yus Raja Lawak) anak-anak Mak Kiah. Tuan Abdullah juga menghalang Hijaz daripada menghubungi sesiapapun dan memaklumkan niat jahat abang-abangnya. Hijaz berasa sedih dan tertekan namun kelamaan menjadi bahagia tinggal bersama Mak Kiah yang menjaganya seperti seorang anak. Dalam tempoh yang sama, Hijaz semakin rapat dengan Iman serta menjadi guru Bahasa Arab kepada gadis tersebut.


Nurul Aini

Sejak kehilangan Hijaz, Nurul Aini merasa ada satu kesedihan yang kuat dalam dirinya. Tanpa khabar berita Hijaz, hatinya disentap rindu yang luar biasa. Nurul Aini menjadi gadis murung dan menyendiri. Perubahannya itu disedari Munir dan mengingatkan adiknya tentang pesanan ibu mereka d kampung agar Nurul Aini tidak jatuh cinta ketika belajar. Nasihat itu menyebabkan Nurul Aini cuba melupakan perasaannya terhadap Hijaz. Namun, khabar kematian Hijaz yang tersebar di universiti menyentak kesabaran Nurul Aini dan Munir. Mereka tidak percaya Hijaz meninggal dunia di Malaysia akibat kemalangan. Dengan pengetahuan Munir, Nurul Aini pulang seorang ke Malaysia bagi menjejaki bukti kematian Hijaz.


Nurul dan ibu, Hajah Aisyah

Kepulangan Nurul Aini ke Malaysia sangat menggembirakan ibunya, Hajah Aisyah (Zainab). Dalam diam-diam dia telah berpakat dengan Hajah Maimon (Maimon Taib) untuk menjodohkan Nurul Aini dengan Suffian (Faizal Yusof). Nurul Aini tidak dapat menerima perancangan ibunya dan semakin ghairah mencari bukti kematian Hijaz. Dia mengajak teman baiknya, Iman pergi ke Kuala Lumpur. Sebelum bertolak, Nurul Aini telah berjumpa sendiri dengan Hajah Maimon bagi menyatakan perasaan berat hatinya menjadi isteri Sufian. Hal ini amat mengecewakan Hajah Maimon dan Hajah Aisyah.

Sesuatu yang tidak disangka berlaku apabila Nurul Aini yang melawat ladang keluarga Iman bertemu kembali dengan Hijaz yang disangkanya telah meninggal dunia. Pertemuan kembali Nurul Aini dan Hijaz telah mengundang banyak konflik antaranya kecemburuan Iman yang turut menyimpan perasaan terhadap pemuda arab tersebut. Selain itu, Hajah Aisyah semakin bimbang jika anaknya itu berkahwin dengan Hijaz. Sufian yang menyimpan perasaan terhadap Iman berasa terganggu melihat Iman juga mesra dengan Hijaz.

Di Madinah, Syeikh Mohamad yang percaya anaknya telah meninggal dunia menjadi buta akibat terlalu sedih. Dalam tempoh tersebut, pelbagai taktik dan helah jahat telah dilakukan oleh Harun, Jamal dan Bakhtiar bagi mendapatkan harta kekayaan milik bapanya. Sesuatu yang tidak dijangka berlaku apabila pelaburan keluarga Syeikh Mohamad yang diterajui Harun tidak berjaya dan menghadapi risiko muflis.


Apa Istimewanya Hijaz?

NURUL IMAN akan menjawab persoalan siapakah gadis pilihan Hijaz, Nurul Aini atau Iman Sakinah? Berjayakah Hijaz menguasai bidang herba seperti yang diharapkan oleh bapanya? Bagaimanakah Hijaz menunjukkan teladan bangsa Arab yang baik di tengah budaya dan masyarakat Melayu pedalaman? Apakah yang dilakukan Hajah Aisyah, Hajah Maimon dan Sufian terhadap Hijaz yang memberi masalah kepada mereka? Apakah taktik buruk Harun, Jamal dan Bakhtiar menghapuskan Hijaz akan berjaya? Bilakah Syeikh Mohamad tahu bahawa anak kesayangannya masih hidup? Dapatkah Hijaz memperbaiki syarikat keluarganya yang akan musnah? Bagaimanakah Nurul dan Iman memelihara persahabatan mereka setelah kehadiran Hijaz yang amat penting dalam hati mereka berdua? Dan siapakah Hijaz yang begitu istimewa sehingga ramai orang dengki dan cinta padanya?

0 komen:

Post a Comment