Uniknya NURUL IMAN







“Apa maksud pointer dalam Bahasa Melayu?” tanya Hj Nurhalim Ismail, pengarah Drama bersiri Nurul Iman. Saya terkebil-kebil, baru saja menjengah ke lokasi selepas seminggu di Kuala Lumpur, sudah diasak soal. Benar juga kata orang, penulis elok tidak berada di lokasi, nanti bertambah-tambah kerja.

“Biasa di IPT, memang pointer dipanggil pointerlah,” jawab saya menyelamatkan diri. Pengarah menggeleng kepala. “Itu aku tahu tapi dalam drama ni kita nak guna Bahasa Malayu,” katanya. Saya berpandangan dengan seorang pelakon yang sudah bersiap untuk beraksi. Seketika, teman penulis telah memberitahu saya maksud PNG- Purata Nilai Gred.

“Purata Nilai Gred ganti kata pointer,” kata saya. Pengarah mengangguk lalu mencatat di skrip yang bakal dilontarkan pelakon-pelakonnya. “Memang dalam perbualan seharian kita sebut pointer, tapi untuk siaran RTM, kena guna Bahasa Melayu yang tepat. Kita pun memang nak promosikan bahasa dalam drama nikan,” ujar pengarah. Saya teruja. Inilah kali pertama saya berhadapan dengan pengarah yang begitu detail tentang aspek bahasa.

Drama Nurul Iman selesai dirakamkan di Perlis dan sebahagian pelakon dan krewnya bakal berangkat ke Damsyik, Syria 8 Ogos nanti. Semoga drama ini bakal menyemarakkan lagi drama-drama dakwah yang bak cendawan tumbuh. Namun, uniknya Drama Bersiri Nurul Iman ini, ia bakal mempertontonkan kepada masyarakat Islam dunia (melalui siaran RTM2 dan Channel Arab Syria) bahawa setiap masa, wanita bertudung tidak perlu membuka auratnya walaupun berada dalam rumah. Mungkin perkara ini berlaku dalam filem-filem Iran. Namun, perkara yang baik eloklah ditiru.

0 komen:

Post a Comment